MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil inisiatif turun padang memantau sendiri perjalanan pendaftaran dan proses kemasukan pegawai, atlet dan jurulatih ke lokasi latihan berpusat Road To Tokyo (RTT) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara hari ini.

Beliau berpuas hati dengan proses yang dijalankan di pusat berkenaan pada hari pertama pendaftaran atlet dan semuanya berjalan mengikut apa yang dirancangkan tanpa ada sebarang kesulitan.

Tegas beliau aspek keselamatan, kesihatan atlet dan semua yang terbabit di kem latihan pusat berkenaan akan diberi keutamaan mengikut garis panduan standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dipatuhi.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO NSTPMenteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO NSTP

“Jumlah atlet yang melaporkan diri di ABM termasuk jurulatih, pegawai dan sokongan seramai 38 orang termasuk lapan atlet olimpik, seorang atlet paralimpik dan sembilan rakan sepelatih,” katanya.

Beliau berkata, semua yang terbabit dengan kem latihan berpusat ini akan menjalani beberapa proses saringan sebaik melaporkan diri antaranya mereka perlu menjalani ujian swab pada hari pertama pendaftaran.

Selepas itu setiap daripada mereka perlu menjalani kuarantin di bilik asrama dari hari pertama sehingga keputusan ujian diperoleh pada hari kedua atau ketiga selepas ujian sebelum dibenarkan turun menjalani latihan seperti biasa.

Ujian Covid-19 akan terus dilakukan pada hari kelima jika mengalami simptom atau ujian swab hari ke 13 bagi mereka yang tidak mengalami apa-apa simptom.

Selain daripada ABM, Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi, Kedah turut dibuka hari ini manakala kemasukan atlet ke Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil hanya akan bermula pada 8 Jun 2020 untuk memberikan sedikit ruang dan masa tambahan bagi proses sanitasi dan persiapan asrama dapat dibuat dengan lebih teratur dan komprehensif ekoran penyerahan balik asrama di Casa 1 baru-baru ini.

All copyrights for this article are reserved to Metro