JURULATIH skuad Liga Super Melaka yang juga bekas pemain kebangsaan Zainal Abidin Hassan mengakui tiada aksi Liga Malaysia sehingga bakal disambung September depan adalah rehat paling panjang seingatnya dalam kancah bola sepak negara.

Katanya, sepanjang bergelar pemain Selangor, Pahang dan Malaysia belum berlaku penangguhan tempoh panjang yang pernah dilaluinya setakat ini.

Menurutnya, paling lama penangguhan akibat isu cuaca atau banjir yang menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan dalam jangka pendek.

Beliau berkata, situasi padang digenangi air dan jadual ditangguhkan sementara pernah dilalui namun situasi sekarang akibat pandemik Covid-19 amat berbeza sama sekali.

“Kali ini latihan juga tidak dapat dilangsungkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi keselamatan umum yang perlu dipatuhi.

“Malah pemain juga hanya menjalani latihan sendiri di kediaman mereka untuk mengekalkan kecergasan masing-masing yang sama sekali berbeza dengan penangguhan perlawanan akibat bencana alam, berikutan mereka boleh menjalani latihan di padang berbanding akibat gejala wabak berkenaan,” katanya.

Apapun, dia seperti semua rakyat di negara dan dunia mengharapkan wabak berkenaan segera berakhir dan semua aktiviti mampu berjalan seperti biasa.

Zainal berkata, walaupun apa situasi semasa yang dilalui fokusnya tetap terarah untuk meningkatkan persembahan skuad berkenaan sebaik pemain dibenarkan turun menjalani latihan bagi menghadapi saingan liga kelak.

Malah, kini semua pihak menanti penuh sabar untuk mengharapkan saingan dapat dilangsungkan seperti perancangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) termasuk menerusi format yang diperkenalkan.

Justeru, dia mahu pemain terus meningkatkan sentuhan cemerlang mereka menerusi susunan jadual baharu kelak.

Keadaan Stadium Hang Tuah. FOTO Nazri Abu BakarKeadaan Stadium Hang Tuah. FOTO Nazri Abu Bakar

Sementara itu, tinjauan mendapati venue latihan skuad terbabit di Stadium Hang Tuah dan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput begitu subur dengan rumput menghijau berikutan tiada sebarang aksi sepanjang tempoh PKP.

Rumput yang tidak ‘diusik’ itu membolehkan ianya segar tambahan taburan hujan yang kerap di negeri terbabit sejak kebelakangan ini.

All copyrights for this article are reserved to Metro