“SAYA tahu dia akan menyintai saya walaupun saya bukanlah siapa-siapa.”

Demikian ucapan penghargaan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada isterinya, Datin Wong Mew Choo sempena Hari Kekasih.

Menerusi status terbaru di laman sosial facebook miliknya, Chong Wei menceritakan bagaimana mulanya bibit percintaan antaranya dengan Mew Choo yang kemudian kekal sehingga hari ini.

“Dia jauh sangat cantik di mata saya. Saya sering membuat lawak ketika menjalinkan hubungan dengannya apabila menyatakan saya perlu memenangi kejohanan antarabangsa, jika tidak, dia tidak akan memandang muka saya.

“Tetapi jauh di sudut hati, saya tahu dia akan menyintai saya walaupun saya bukanlah siapa-siapa. Malah hubungan kami hanya bermula apabila saya membersihkan gelanggang di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil),” katanya.

Gelanggang badminton suntik kasih sayang Chong Wei dan isterinya. FOTO Ihsan Lee Chong Wei

Chong Wei berkata, sejak itu Mew Choo yang juga bekas jaguh perseorangan wanita negara menjadi individu paling penting di dalam hidupnya dan anak-anak mereka.

“Ketika perlawanan terakhir saya selepas menghidap kanser, saya beritahu kepada diri sendiri bahawa saya tidak mahu mati terlalu awal kerana tidak mahu dia menangis.

“Selamat Hari Kekasih Mrs Lee. Saya berterima kasih dan amat menyintai anda,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro