SUPERSTAR Juventus dan Portugal, Cristiano Ronaldo bertukar menjadi objek setinggi 1.87 meter dan berat 120kg hasil sentuhan kreatif pembuat coklat, Jorge Cardoso yang mengambil masa 200 jam untuk disiapkan.

Ramai percaya jika Ronaldo dibuat daripada coklat, dia akan makan dirinya sendiri. Bagaimanapun, kata-kata itu hanyalah gurauan Cardoso yang membina ukiran coklat mengikut ketinggian sebenar superstar bola sepak itu ketika masa lapangnya.

Dia mengambil masa 200 jam untuk menyiapkannya di kilang coklat Suard di Givisiez, Switzerland dengan Ronaldo lengkap memakai jersi Portugal.

PATUNG coklat Ronaldo berdiri gagah. FOTO Agensi

Selain itu turut diukir lambang Nike, logo Kejohanan Eropah UEFA dan lencana Portugal sekali gus melambangkan kejayaan empat tahun lalu ketika Portugal menjuarai Euro 2016 di Perancis dengan menewaskan tuan rumah 1-0.

Walaupun patung coklat itu tidak menyerupai Ronaldo namun ia lebih baik berbanding kepala tugu yang dibuat Ricardo Velosa pada 2014 yang menakutkan Ronaldo sendiri.

Selepas kecewa dengan tugu itu enam tahun lalu, sudah pasti menarik menunggu reaksi bekas penjaring prolifik Real Madrid dan Manchester United itu apabila melihat dirinya seperti coklat.

All copyrights for this article are reserved to Metro