Lisbon: Cristiano Ronaldo mampu beraksi hingga berusia 40 tahun tetapi penyerang itu tetap akan bersara sehingga badannya tidak mampu berkerja keras menurut bos Portugal, Fernando Santos.

Bintang Juventus itu masih mendominasi bola sepak dunia pada usia 35 tahun, memulakan aksi cemerlang pada awal musim 2020-21.

Malah Santos mendedahkan Ronaldo akan terus beraksi sehingga apabila tahap fizikalnya mula menurun.

Santos memberitahu kepada TVI24: “Cristiano bersedia untuk beraksi sehingga dia berusia 40 tahun tetapi dia tidak tahu sama ada ia akan berlaku atau tidak.

“Pada masa sama dia mungkin merasakan dia tidak lagi mempunyai tahap keadaan yang sama seperti zaman kemuncaknya.

“Dia bukan pemain yang akan menyerah kalah, namun apabila dia berasakan dia tidak dapat menjadi Ronaldo, dia akan berhenti.”

Cristiano Ronaldo. FOTO AgensiCristiano Ronaldo. FOTO Agensi

Ronaldo kembali dengan sentuhan berbisanya pada musim ini ketika menghasilkan lima gol pada tiga perlawanan pembukaan bersama kelab dan negaranya.

Penyerang itu meledak dua gol ketika membantu kemenangan 2-0 Portugal ke atas Sweden sebelum menjaringkan gol kemenangan Juventus ke atas Sampdoria dalam saingan Serie A.

Malah Ronaldo meledak dua lagi gol ketika membantu Juventus daripada menerima kekalahan selepas seri 2-2 berdepan Roma.

Ronaldo menarik perhatian peminat bola sepak dan disifatkan antara jaringan paling sukar selepas tandukan di udara dalam salah satu golnya itu.

Bekas bintang Manchester United itu sebelum ini mendedahkan keinginannya untuk beraksi sehingga berusia 40 tahun namun semuanya bergantung kepada kemampuan dan keadaan semasa fizikalnya.

All copyrights for this article are reserved to Metro