PENGENDALI pasukan Hoki Terengganu (THT) Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, enggan melayan perang psikologi rakan sejawatnya daripada pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Pengendali berpengalaman dibantu jurulatih dari Korea Selatan, Seo Jongho dan Roslan Jamaluddin itu juga tidak begitu selesa jika pasukannya dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan gelaran trofi itu musim ini.

Bagaimanapun bekas pengendali skuad wanita kebangsaan itu mengakui kedua-dua pasukan bakal melalui medan ‘pertempuran’ yang sengit untuk merebut gelaran juara musim ini kerana masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri selain peluang sama rata.

Beliau mengakui THT yang menutup tirai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019 dengan cemerlang selepas memenangi Piala Sumbangsih dan Piala TNB kini berdepan dengan cabaran sukar untuk mempertahankan gelaran itu.

“Skuad UniKL bukan calang-calang pasukan kerana mereka ada ramai pemain kebangsaan dan dua import Australia yang pernah menjadi juara dunia selain mempunyai penjaga gol berpengalaman dan terbaik dunia dari Ireland, David Harte.

“Situasi itu pasti menjanjikan persaingan yang sengit buat kedua-dua pasukan, ” ujar Dhaarma selepas Majlis Pelancaran Logo dan Jersi Pasukan serta Memperkenalkan Penaja dan Pemain THT dan TLHT (Pasukan Hoki Wanita Terengganu) di Kuala Terengganu, malam tadi.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

All copyrights for this article are reserved to Metro