SOUTHAMPTON tidak dimotivasikan dengan usaha membalas dendam terhadap kekalahan besar 0-9 kepada Leicester City pada Oktober lalu ketika pasukan itu mencatat kemenangan mengejut di Stadium King Power, jelas bos Saints, Ralph Hasenhuttl.

Barisan pemain Hasenhuttl memastikan kemenangan cukup layak buat mereka di gelanggang tuan rumah yang juga pasukan kedua di puncak Liga Perdana berikutan aksi memberangsangkan yang ditampilkan penyerangnya Danny Ings menerusi kemenangan lewat permainan.

The Foxes, yang memburu kemenangan ketiga berturut-turut liga, mendahului apabila Dennis Praet menolak masuk gol pertamanya buat kelab itu.

Namun bukan lagi kemenangan mudah buat barisan kendalian Brendan Rodgers apabila dikejutkan dengan gol penyamaan rembatan Stuart Armstrong.

Ings, yang kini sudah menjaringkan 10 gol pada penampilan 10 terakhir sebagai pemain utama, menjadi pemusnah kepada Leicester yang turut berpeluang memperoleh jaringan selepas beberapa percubaan terkenal palang gol sebelum berjaya memperdayakan penjaga gol Kasper Schmeichel.

“Kami berhak memenangi perlawanan itu kerana mempunyai lebih banyak peluang. Ia persembahan berpasukan yang hebat,” kata Hassenhuttl.

“Jika kamu berjaya menghasilkan gol pertama berdepan pasukan yang sebelum ini menjaringkan sembilan gol ke atas kamu, kamu harus bersedia sepenuhnya dari segi kekuatan mental untuk memberi tentangan.

“Namun kami membiarkan semuanya di padang dan kami kurang bernasib baik pada separuh masa pertama, jadi kamu harus merasai kami berpotensi untuk menang perlawanan pada separuh masa.

“Kami tidak mahu membalas dendam, kami mahu menunjukkan sejauh mana peningkatan yang kami lalui.”

All copyrights for this article are reserved to Metro