PEMAIN Britain, Joe Salisbury meraih Grand Slam pertamanya apabila memenangi acara beregu lelaki Terbuka Australia bersama-sama rakan gandingannya, Rajeev Ram.

Pemain berusia 27 tahun itu serta Ram menewaskan peserta wild card, Max Purcell dan Luke Saville 6-4, 6-2 pada aksi final di Rod Laver Arena hari ini.

Hanya dia dan Jamie Murray memenangi acara beregu untuk Britain di Terbuka Australia di dalam era baru.

“Ia sangat menakjubkan dan saya amat gembira dengan kejayaan ini. Sebelum turun beraksi kami percaya mampu melakukannya dan sekarang ia sudah menjadi kenyataan,” katanya.

Salisbury yang menduduki ranking di luar 100 terbaik dua tahun lalu, kini naik di tangga keempat.

“Agak sukar untuk mengumpul mata bagi memperbaiki ranking anda dan berpeluang beraksi di kejohanan berprestij apabila anda beraksi di kejohanan bertaraf rendah.

“Tapi saya akhirnya berjaya mara ke separuh akhir di Wimbledon dan kemudian beraksi kejohanan utama lain,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro