PEMAIN tengah Jepun, Keisuke Honda diberikan sambutan bagai wira oleh ribuan peminat kelab Brazil, Botafogo – kelab yang ditandatangani untuk beraksi sehingga hujung tahun ini.

“Ole, Ole, Ole, Ola, Honda, Honda,” sekumpulan penyokong menyanyi sambil mengibarkan bendera Jepun ketika pemain berusia 33 tahun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Galeao, dekat Rio de Janeiro.

Diasak oleh sekumpulan jurugambar yang merakamkan ketibaannya, Honda melontarkan senyuman dan melambai tangan kepada peminatnya sebelum mengenakan topi Botafogo dan mengibarkan bendera hitam serta putih melambangkan kelab berkenaan.

Honda, antara salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak Jepun, kemudian diperkenalkan secara rasmi di Stadium Nilton Santos, gelanggang olahraga bagi Olimpik 2016.

Peminat kelab bola sepak, Botafogo meraikan ketibaan Honda. FOTO AFP

Botafogo mengharapkan kebangkitan selepas penamat di tempat ke 15 dalam saingan liga Brazil musim lalu, dan berjaya mengelak daripada penyingkiran.

Honda tidak mewakili mana-mana kelab sejak meninggalkan kelab Belanda, Vitesse Arnhem pada Disember hanya dua bulan selepas menyertainya.

Bekas pemain AC Milan dan CSKA Moscow, perancang tengah yang paling menyerlah dalam skuad kebangsaan Jepun, menjaringkan 37 gol dalam 98 penampilan termasuk penyertaan dalam empat Piala Dunia.

Pada 2018 dia menjadi pemain Jepun pertama menjaringkan gol dalam tiga Piala Dunia.

All copyrights for this article are reserved to Metro