NAPOLI menjaringkan dua gol lewat ketika menang 4-2 di Sampdoria dalam aksi Serie A yang dicemari dua keputusan kontroversi VAR dan percubaan hebat pemain veteran berusia 37 tahun, Fabio Quagliarella untuk tuan rumah.

Diego Demme dan Dries Mertens menggegar gawang dalam tempoh 10 minit terakhir ketika Napoli yang di bawah kendalian Gennaro Gattuso kembali temui momentum dengan tiga kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Napoli menghuni kelompok bawahan liga selepas beberapa siri keputusan mengecewakan tetapi kini melonjak ke tangga ke-10 dengan 30 mata, sembilan mata di bawah slot Liga Juara-Juara.

“Kami kembali, kami meneruskan tugas seperti diharapkan pengurus,” kata kapten pasukan, Lorenzo Insigne. “Liga Juara-Juara boleh dicapai tetapi kami perlu fikirkan perlawanan demi perlawanan.”

Napoli mendahului 2-0 selepas 16 minit perlawanan menerusi tandukan Arkadiusz Milik dan tampanan Eljif Elmas hasil sepakan sudut untuk jaringan pertamanya dalam Serie A yang diraikan dengan linangan air mata.

Quagliarella merapatkan kedudukan pada minit ke-26 hasil ledakan voli kencang ke penjuru gawang pelawat selepas mendapat hantaran cantik dari sebelah kanan.

Sampdoria menyangka mereka menyamakan kedudukan 10 minit selepas rehat menerusi percubaan akrobatik Gaston Ramirez tetapi gol itu dibatalkan secara kontroveri selepas reviu VAR mendapati bola terkena tangan Manolo Gabbiadini terlebih dahulu.

Bagaimanapun, VAR memihak Sampdoria apabila Quagliarella dikasari Kostas Manolas dan VAR mengesahkan penalti yang disempurnakan Gabbiadini pada minit ke-73.

Demme kembali meletakkan Napoli di depan pada minit ke-82 dan Mertens melencongkan bola ke gawang kosong selepas penjaga gol Sampdoria, Emil Audero keluar daripada kawasannya untuk menepis bola yang jatuh tepat ke kaki pemain Belgium itu.

“Napoli pasukan sangat bagus, mereka mengejutkan kami,” kata jurulatih Sampdoria, Claudio Ranieri yang skuadnya kini menduduki tangga ke-16 dan hanya empat mata di atas zon penyingkiraan. “Kami lebih menguasai perlawanan babak kedua tetapi beberapa kesilapan penghujung perlawanan merugikan kami.”

All copyrights for this article are reserved to Metro