TANGISAN Naomi Osaka iringi satu lagi kekalahan mengejutkan awal pagi ini selepas aksi mengecewakan di Terbuka Australia bulan lalu.

Naomi tewas 0-6, 3-6 kepada pemain nombor 78 dunia, Sara Sorribes Tormo dalam saingan Piala Fed.

Pemain dari Sepanyol itu melakukan kejutan dengan mendahului pemain Jepun dalam pertembungan di Cartagena ketika Sara Sorribes bijak menghukum kesilapan yang dilakukan Osaka.

Carla Suarez Navarro menjadikan 2-0 buat tuan rumah selepas mengatasi Misaki Doi 6-3, 6-4.

Sara Sorribes menikmati kelebihan gelanggang tuan rumah di La Manga Club dan aksi konsisten gagal ditandingi Naomi yang tidak pernah beraksi baik di gelanggang tanah liat.

Naomi Osaka (kiri) kecewa selepas tewas kepada pemain Sepanyol. FOTO AFP

“Kami tahu Sara mempunyai permainan yang akan mendatangkan kesukaran buat Naomi,” kata kapten Sepanyol, Anabel Medina Garrigues.

“Dia memberi tumpuan kepada perancangan permainan dengan baik.”

Pemenang daripada lapan kelayakan akan menyertai empat pasukan yang layak secara automatik, penyandang juara Perancis, Australia, Republik Czech dan tuan rumah, Hungary dalam acara tahunan pusingan akhir Piala Fed di Budapest pada April ini.

Naomi juara dua kali Grand Slam mempamerkan prestasi kurang meyakinkan pada permulaan musim ini selepas disingkirkan pemain remaja sensasi Amerika berusia 15 tahun Coco Gauff bulan lalu di Melbourne, lokasi di mana dia memenangi trofi pada 2019.

Pemain berusia 22 tahun yang jatuh ke nombor 10 pemain dunia itu, mengalah di set pertama kepada Sara Sorribes dalam masa 27 minit sebelum memberi sedikit saingan pada set kedua.

Namun selepas Naomi mendahului 2-0, Sara Sorribes bangkit untuk memastikan kemenangan.

Kemenangan kedua Sara Sorribes dalam acara single di Piala Fed memberikan permulaan cemerlang buat Sepanyol, yang meneruskan kecemerlangan menerusi Carla selepas mencatat kemenangan ke atas Misaki.

All copyrights for this article are reserved to Metro