SELEPAS gagal mempertahankan trofi Piala Cabaran musim lalu, skuad ‘adik’ Terengganu FC ll (TFC ll) mensasarkan untuk memenangi piala itu kembali musim ini.

Selain itu, skuad The Turtles kendalian Roshadi Wahab meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik di Liga Perdana.

Musim lalu TFC ll menamatkan saingan liga di kedudukan kelima selain mara ke peringkat akhir Piala Cabaran.

Bekas pertahanan Terengganu itu berkata, biarpun cabaran musim ini lebih getir terutama dengan penyertaan dua pasukan baharu berstatus ‘feeder club’, beliau tetap yakin skuadnya mampu menjadi pencabar utama.

“Saya gembira semua pemain menunjukkan komitmen yang tinggi selain berusaha lebih keras lagi daripada awal bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.

“Kami jangka cabaran tahun ini pastinya lebih hebat dengan kemasukan Selangor ll dan Perak ll. Ia adalah perkembangan yang baik dan persaingan sihat bagi semua pasukan bertanding,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan Madura United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi yang berkesudahan skuadnya tewas 1-2.

Ditanya perkembangan penyerang import, Jordan Mintah, beliau mengakui pemain itu berada pada tahap terbaik.

“Dia berada pada tahap terbaik seperti yang dapat disaksikan dalam beberapa perlawanan persahabatan biarpun masih belum lagi menjaringkan gol,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro