PEMAIN badminton negara perlu mula membiasakan diri dengan bulu tangkis sintetik secepat mungkin bagi memastikan mereka tidak kekok apabila ia digunakan dalam semua kejohanan tahun hadapan.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek berkata walaupun pemain dijangka mengalami kesukaran untuk membiasakan diri, namun mereka perlu belajar menggunakan bulu tangkis sintetik agar tidak ketinggalan.

“Kita sudah tahu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mahu gunakan bulu tangkis sintetik, jadi sekarang sepatutnya sudah ada bekalan, dan kita akan gunakan secara bergilir-gilir dengan bulu tangkis asli dalam latihan.

“Dalam perkara ini, kita tidak boleh ambil mudah seperti mula guna bulu tangkis sintetik dalam jangka masa yang singkat kerana permainan bulu tangkis sintetik terlalu berbeza. Perasaan, tekanan pada raket juga berbeza,” katanya.

Misbun berkata, banyak pemain dijangka akan berhadapan dengan kekecewaan semasa menggunakan bulu tangkis sintetik tetapi mereka perlu meneruskan latihan menggunakan bulu tangkis jenis baharu ini supaya kekecewaan mereka hilang dan semakin mahir menggunakannya.

“Selagi ada perasaan kecewa, mereka tidak akan mahir,” katanya.

Katanya lagi, pemain perlu belajar dan mahir dalam membuat pukulan ‘smash’ apabila menggunakan bola sintetik kerana impak daripada pukulan kuat itu akan mengganggu pergerakan bulu tangkis itu.

Katanya, bulu tangkis sintetik itu kemungkinan akan bergoyang serta sukar untuk dikawal dan ia sama sekali berbeza dengan bulu tangkis asal yang diperbuat daripada bulu angsa.

BWF dalam satu kenyataan dikeluarkan pada minggu lalu menyatakan selepas ujian berterusan ke atas pelbagai prototaip sewaktu pembangunan melalui kerjasama teknologi bersama Yonex, bulu tangkis sintetik didapati lebih tahan lama dan jimat berbanding bulu tangkis menggunakan bulu asli.

All copyrights for this article are reserved to Metro