Kuala Lumpur: Tempoh ‘talian hayat’ sudah diberikan namun akhirnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menolak permohonan penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat Felda United dan UKM FC.

Menerusi kenyataan media, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam memaklumkan kedua-dua pasukan terbabit didapati gagal mengemukakan kedudukan kewangan pelabur baharu yang kukuh untuk menampung kos pengendalian kedua-dua pasukan bagi saingan musim depan.

Hal ini bermakna, Felda United dan UKM FC tidak layak untuk menyertai liga anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi musim depan sama ada saingan Liga Super atau Liga Premier.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua pasukan itu sudah menyelesaikan proses penswastaan, perkembangan negatif berkaitan sokongan korporat dan pendanaan timbul seterusnya memaksa FAM meminta penjelasan dan dokumentasi lebih lanjut mereka.

“Dokumen berkaitan adalah membabitkan setiap pasukan dan pengurusan baharu yang berhasrat mengambil alih pasukan Felda United dan UKM FC mengenai kedudukan semasa dan kewangan mereka yang perlu diserahkan kepada FAM selewat-lewatnya pada 19 Oktober lalu.

“Bagi Felda United, biarpun mereka berjaya melengkapkan proses penswastaan FC bersyarikat dan sudah pun diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober lalu menyatakan bahawa Felda United tidak akan menyertai Liga Super atau Liga Premier mulai musim 2021.

“Susulan itu, pihak pengurusan baharu Felda United iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd mencari pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM mendapati bahawa kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021,” katanya.

Sementara itu, Stuart berkata, UKM FC pula, pada tarikh akhir iaitu 30 September lalu, FAM sudah dimaklumkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.

“Susulan itu juga, pihak pengurusan baharu UKM FC iaitu Varsity Boys Sdn Bhd mendapatkan pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM turut mendapati bahawa kedudukan kewangan syarikat terbabit melalui pelabur baharu itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021.

“Untuk makluman, FAM mengambil proses ini dengan serius bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan ini mendapatkan pelabur yang baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan dapat dijamin,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, FAM membuat keputusan terbabit bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim depan jika sesebuah pasukan itu didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tindakan UKM FC meletakkan jurulatih sebagai antara pemilik syarikat menyebabkan timbul keraguan sekali gus perlu memberikan penjelasan atau surat sokongan untuk mendapatkan kelulusan berkaitan proses penswastaan terbabit.

Felda United pula, membuat kejutan untuk menarik diri daripada kancah bola sepak tempatan bermula tahun depan sekali gus mengejutkan peminat sukan nombor satu tanah air itu.

All copyrights for this article are reserved to Metro