SUSULAN kekalahannya dengan Conor McGregor pada Ahad lalu, Donald ‘Cowboy’ Cerrone kini berdepan penggantungan perlawanan selama enam bulan atas sebab kecederaan.

Memetik laporan MMA Fighting, Cerrone, patah di bahagian hidung serta mengalami keretakan tulang orbital (rongga mata) akibat pukulan teruk dari McGregor.

Bagaimanapun dia akan dibenarkan untuk kembali bertarung lebih awal selepas mendapat pelepasan dari pihak perubatan.

Cerrone, 36 tahun, berdepan penggantungan perubatan (medical suspension) sehingga 17 Julai ini, dengan penggantungan minumum sehingga 18 Februari, serta tidak dibenarkan sebarang kontak sehingga 8 Februari.

Dalam acara utama di UFC 246 pada Ahad lalu, Cerrone ditumbangkan oleh McGregor dalam hanya 40 saat pada pusingan pertama.

BACA: McGregor hanya perlukan 40 saat tumbangkan ‘Cowboy’ Cerrone

Aksi welterweight yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas itu menyaksikan McGregor menewaskan Cerrone menerusi ‘technical knockout’ (TKO).

Kali terakhir dia bertarung ialah pada acara UFC Fight Night 158 di Vancouver, Kanada yang menyaksikan Cerrone ditundukkan oleh Justin Gaethje melalui TKO pada minit 4:18 pusingan pertama.

Cerrone kini mempunyai rekod profesional MMA sebanyak 36-14, manakala McGregor pula mempunyai rekod profesional 22-4.

All copyrights for this article are reserved to Awani