NOVAK Djokovic menjadi kunci kepada kejayaan Serbia memenangi Piala ATP yang julung kali dianjurkan sekali gus berada prestasi terbaik untuk mempertahankan saingan Terbuka Australia.

Djokovic menewaskan Nadal 6-2, 7-6 (7/4) selepas pemain ranking ke-10 dunia, Roberto Bautista Agut menewaskan pemain Serbia, Dusan Lajovic 7-5, 6-1 dalam satu lagi aksi perseorangan.

Djokovic kemudian kembali semula ke gelanggang Ken Rosewall Arena pada perlawanan penentuan menerusi acara beregu bergandingan bersama Viktor Troicki.

Namun Nadal tidak turun beraksi kerana kepenatan sekali gus menyaksikan Sepanyol diwakili oleh Feliciano Lopez dan Pablo Carreno Busta.

Kemenangan berpihak kepada Djokovic-Troicki dengan keputusan 6-3, 6-4 sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak untuk Serbia.

“Saya akan mengingati kejayaan ini sepanjang hidup saya. Ia adalah antara kejayaan paling membanggakan dalam karier saya.

“Saya amat bernasib baik melalui karier yang cukup gemilang sejak 15 tahun lalu. Tapi beraksi bersama pasukan untuk negara adalah sesuatu yang amat istimewa,” kata Djokovic.

All copyrights for this article are reserved to Metro