KELAB-kelab Serie A Itali berkata mereka mahu kembali meneruskan saingan pada 13 Jun ini sekiranya mendapat pelepasan daripada kerajaan.

“Mengenai penyambung semula aktiviti sukan dan menepati keputusan kerajaan serta mengikut protokol perubatan demi keselamatan pemain-pemain, tarikh yang dipilih adalah pada 13 Jun,” kata Lega Serie A dalam satu kenyataan.

Sukan di Itali ditangguhkan sejak 9 Mac kerana pandemik Covid-19 yang mengorbankan 31,000 nyawa di negara itu.

Kesemua 20 kelab liga utama Itali itu sudah bersetuju untuk meneruskan kempen tetapi ini adalah kali pertama satu tarikh dicadangkan.

Menteri Sukan Vincenzo Spadafora memberitahu parlimen Itali dia menerima surat daripada Presiden Persekutuan Bolasepak Itali, Gabriele Gravina.

“(Gravina) memberitahu kepada saya bahawa badan induk itu sudah mengikut semua garis panduan Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik serta menambah baik protokol.

“Ia sekali gus membolehkan penyambungan tanpa masalah latihan berkelompok bermula 18 Mei,” kata Spadafora.

Pasukan Itali kembali kepada latihan individu pada 4 Mei selepas perintah berkurung selama dua bulan dengan sesi berpasukan kembali dijalankan pada Isnin lalu di bawah syarat peraturan yang ketat.

All copyrights for this article are reserved to Metro