GOL pada separuh masa kedua oleh Oli McBurnie memastikan kemenangan 1-0 Sheffield United di gelanggang sendiri ke atas West Ham United sekali gus melonjak ke tangga kelima carta Liga Perdana Inggeris.

Selepas aksi mengecewakan pada awal permainan, tuan rumah kembali menyusun rentak permainan selepas waktu rehat dan McBurnie menjaringkan gol buat pasukannya selepas menghidu kesilapan yang dilakukan gandingan pemain West Ham, David Martin dan pertahanan Fabian Balbuena.

West Ham berpeluang menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan menerusi Robert Snodgrass namun dinafikan, begitupun, selepas tayangan VAR jelas mendapati Declan Rice menampan bola ketika usaha mendapatkan jaringan.

Barisan kendalian Chris Wilder mungkin boleh menambah jaringan pendahuluan mereka tetapi terpaksa diselamatkan dengan beberapa detik yang memihak mereka ketika penyerang West Ham, Sebastien Haller memperoleh jaringan yang tidak dikira kerana ofsaid dan penjaga gol Dean Henderson beraksi cemerlang menyelamatkan gawang daripada ditembusi.

Sheffield United melonjak ke tiga anak tangga di tempat kelima carta liga dengan 32 mata daripada 22 perlawanan, empat mata di belakang pasukan di tempat ke empat Chelsea.

Ia adalah kekalahan pertama buat West Ham sejak David Moyes kembali untuk tugasan kali keduanya sebagai pengurus selepas Manuel Pellegrini dipecat pada 28 Disember berikutan kekalahan kepada Leicester City.

Mereka kekal bermasalah di tangga ke 16, dua mata mengatasi pasukan tiga terbawah.

All copyrights for this article are reserved to Metro