LIMA Grand Slam terakhir wanita diraih oleh lima pemenang yang berbeza dan ada yang sudah mula membuat andaian siapa bakal muncul juara di Terbuka Perancis.

Kejayaan Sofia Kenin dalam aksi tiga set ke atas Garbine Muguruza pada perlawanan akhir Terbuka Australia semalam menunjukkan bahawa saingan dalam kategori wanita sangat terbuka.

Pemain muda Amerika Syarikat yang juga pilihan ke-14 di Melbourne dan memberikan aksi terbaiknya di kejohanan bertaraf Grand Slam mara sehingga 16 terakhir di Roland Garros tahun lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu sangat luar biasa apabila mengalahkan jaguh nombor satu dunia dan wakil tuan rumah, Ashleigh Barty di separuh akhir dan mengalahkan juara Grand Slam dua kali, Muguruza.

Sofia yang dilahirkan di Moscow, sekarang ini melonjak ke tangga ketujuh dunia.

Dia juga ditanya adakah mampu untuk mengikuti jejak langkah jaguh Amerika Syarikat, Serena Williams yang sudah mengecapi pelbagai kejayaan.

“Saya memang mahu menjadi seperti dia dan jika menjadi kenyataan ia sudah tentu sangat menarik.

“Buat masa sekarang saya masih tidak percaya mengenai apa yang berlaku. Saya perlu sedikit masa untuk melupakan kejayaan ini.

“Saya berharap selepas ini mampu untuk meneruskan aksi konsisten dan melupakan apa yang sudah saya lakukan dalam tempoh dua minggu lalu, sekarang saya perlu pandang ke depan,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro