EPISOD masalah pembayaran gaji terhadap pemain dan pegawai membabitkan Kelantan, PDRM dan Perlis seolah-olah tiada kesudahan.

Semalam, Jawatankuasa Status FAM mengarahkan Kelantan membayar tunggakan gaji sebanyak RM167,304 kepada bekas pemain pertahanan, Amirizdwan Taj Tajudin serta bekas pegawai, Mohd Hisham Jainudin RM11,166.

Selain Kelantan, PDRM turut diarahkan membayar tunggakan gaji berjumlah lebih RM100,000 kepada pegawai mereka.

PDRM dikehendaki membayar tunggakan gaji sebanyak RM26,000 kepada bekas pemain skuad kebangsaan, Liew Kit Kong, bekas jurulatih musim lalu, E Elavarasan (RM60,000) serta penolong jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail (RM43,000).

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pula dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada empat bekas pegawai tertakluk kepada potongan wajib pendapatan dan pampasan baki kontrak dengan jumlah keseluruhan RM500,000.

Mengulas perkembangan itu, Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman berkata, walaupun arahan terbaharu FAM itu sedikit mengganggu kantung Kafa, pihaknya tetap akan memikul tanggungjawab berkenaan bagi memastikan perjuangan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia tidak terjejas.

“Kita akan buat rayuan dalam masa terdekat ini kepada FAM supaya dapat memberi ruang dan masa kepada Kafa untuk menyelesaikan tunggakan itu,” katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya, beliau juga akan memanggil bekas pemain dan pegawai berkenaan untuk berunding bagi mendapatkan persetujuan membayar secara ansuran.

“Kalau boleh kita harap dapat bayar secara ansuran kerana kita pun kekangan dana. Saya akan mengatur pertemuan dengan mereka dalam masa terdekat ini dan harap mereka juga memahami situasi Kafa,” katanya.

Untuk rekod, sebelum 31 Januari lalu, Kafa sudah berjaya menjelaskan tunggakan hutang sebanyak RM2 juta kepada sebahagian daripada 19 pemain termasuk pegawai dan jurulatih, sekali gus menyaksikan skuad The Red Warriors terlepas daripada hukuman pemotongan tiga mata.

All copyrights for this article are reserved to Metro