UNDIAN baru Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina semalam tetap mendatangkan bimbang buat pemain lelaki negara terutama dalam mencatat keputusan terbaik seterusnya layak ke Piala Thomas secara merit.

Semalam, Badminton Asia (BA) terpaksa melakukan semula undian membabitkan lelaki dan wanita selepas tuan rumah menyekat kemasukan warganegara China dan Hong Kong akibat wabak koronavirus.

Ia menyebabkan China dan Hong Kong menarik diri daripada menyertai kejohanan berkenaan dan dalam masa sama India juga tidak menghantar pasukan wanita mereka.

Undian baru menyaksikan skuad lelaki negara berada di dalam Kumpulan B bersama India dan Kazakhstan, seterusnya dilihat agak mudah untuk mara ke suku akhir dengan mencari dua slot pasukan terbaik.

Menurut pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, dia tetap mengakui tekanan tetap ada buat dia dan rakan sepasukan lain, namun sekurang-kurangnya mereka mempunyai kelebihan untuk mara ke suku akhir.

“Tidak ada apa yang boleh saya katakan mengenai perlawanan menentang Kazakhstan esok namun jika diturunkan kami tetap perlu mencatat kemenangan untuk menghadiahkan mata buat pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Aaron yang beraksi buat kali pertama di Piala Thomas dua tahun lalu, juga tidak mahu memberi sebarang komen mengenai ketiadaan China dalam kejohanan kali ini.

Malaysia akan turun ke gelanggang esok untuk menghadapi Kazakhstan, perlawanan yang dijangka mudah buat Aaron dan rakan pasukannya sebelum berdepan ujian sebenar menentang India, Khamis ini.

Sebelum ini, Malaysia diundi satu kumpulan dengan Taiwan dan Singapura, namun undian semula yang dilakukan kelmarin menyaksikan beberapa perubahan.

Kumpulan A dihuni Indonesia dan Korea Selatan, manakala Kumpulan B pula membabitkan Taiwan, Singapura dan tuan rumah dan Kumpulan D diisi Jepun serta Thailand.

All copyrights for this article are reserved to Metro