PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya Jesse Lingard sudah mengurangkan aktiviti di media sosial dalam usahanya untuk kembali meraih prestasi terbaik pada baki separuh saingan liga.

Lingard gagal untuk menjaringkan gol atau menjadi perancang pada sepanjang saingan Liga Perdana musim lalu serta kehilangan tempatnya di tangan Gareth Southgate menjelang saingan Liga Europa musim ini.

“Lingard melalui prestasi tidak menentu dan saya sudah memperkatakan mengenainya sebelum ini,” kata Solskjaer pada sidang media menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Liga bertemu, Manchester City.

“Kami mahu dia kembali menjaringkan gol dan menjadi perancang kepada pasukan. Dia adalah antara pemain yang mampu memberi tekanan kepada pihak lawan,” katanya.

Lingard dalam satu temuramah baru-baru ini mengakui bimbang dengan masa depannya selepas memuat naik video yang mencetuskan kontroversi di media sosial bersama rakan sepasukan, Marcus Rashford.

Solskjaer sudah menegur pemain tengah itu berhubung tindakannya itu dan berkata adalah amat penting untuk menasihati pemain bagaimana mereka menunjukkan perwatakan masing-masing di media sosial.

“Saya tidak rasa anda kerap dapat saksikan Lingard di media sosial seperti kebiasaannya.

“Dia sudah menyedari kesalahannya itu dan kini mula bekerja keras. Saya sangat mengenalinya dan kini dia kembali kepada Lingard yang sebenar,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro