PENGURUS Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mahu anak buahnya yakin akan kemampuan mereka untuk bangkit di Etihad biarpun ketinggalan 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di tangan Manchester City.

Solskjaer berharap detik magis yang dicatat di Paris dalam aksi Liga Juara-Juara musim lalu di mana United bangkit daripada kekalahan 0-2 di laman sendiri bakal berulang di laman lawan.

“Kami sudah menunjukkan sebelum ini apabila ketinggalan di laman sendiri dan bangkit meraih kemenangan,” kata Solskjaer.

“Kami perlu menaruh keyakinan tinggi apabila bertandang ke Etihad dan memberikan persembahan terbaik.”

Pep Guardiola mengatasi masalah yang dicetus United sebelum ini dengan meletakkan pemain tengah tambahan, ketika dua penyerangnya Sergio Aguero dan Gabriel Jesus bermula di bangku simpanan.

Taktik Guardiola membuahkan hasil apabila gandingan Bernardo Silva, Riyad Mahrez, Raheem Sterling dan Kevin De Bruyne mudah merobek benteng United rapuh tanpa Harry Maguire.

Silva membuka jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-17, sebelum melakukan hantaran kepada Mahrez untuk gol kedua pada minit ke-33.

Lima minit selepas itu gerakan De Bruyne berakhir dengan jaringan Andreas Pereira ke gawang sendiri untuk meletakkan City 3-0 di depan.

“Selepas mereka menjaringkan gol kami gagal menangani situasi,” kata Solskjaer. “Hanya selepas babak kedua kami kembali menguasai permainan dan mendapatkan gol.”

United kemudiannya merapatkan jurang menerusi serangan balas yang disempurnakan Marcus Rashford untuk gol ke-17 dirinya musim ini.

All copyrights for this article are reserved to Metro