PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola tidak bimbang dengan kemerosotan Raheem Sterling sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Sterling tidak menjaringkan gol dalam enam penampilan tahun ini, di mana gol terakhirnya ialah ketika City menewaskan Wolves 3-2 27 Disember lalu.

Pemenang anugerah penulis bola sepak England musim lalu itu mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan kemarau ketika City berjaya menumpaskan Manchester United dalam separuh akhir Piala Liga namun percubaannya tersasar walaupun sudah memperdayakan penjaga gol, David De Gea.

Bagaimanapun, Guardiola percaya Sterling masih lagi menyumbang untuk pasukan secara keseluruhan.

“Raheem berjaya mempertahankan dengan baik sekali ketika berdepan dengan Aaron Wan-Bissaka pada perlawanan terakhir dan dia mampu mencipta peluang menjaringkan gol namun gagal menyempurnakannya.

“Bagaimanapun, dia sudah mencuba dan saya masih lagi boleh berbangga dengan prestasinya ketika menentang United

“Sebulan lalu, ramai yang bercakap mengenai statistik, jaringan, hantaran tapi saya sentiasa berkata bahawa tidak menilai Raheem dengan semua perkara itu. Ia memang fakta penting tapi bukan itu saja,” katanya.

Sterling setakat ini sudah menjaringkan 24 gol dalam 39 perlawanan untuk City dan England musim ini namun prestasi sedikit merosot.

Dia hanya terlepas dua daripada 24 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan setakat ini bebas dari sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, Guardiola tidak mempunyai perancangan untuk mengetepikannya dari barisan serangan utama.

“Saya tidak rasa dia perlu berehat. Dia adalah salah seorang pemain mampu kembali cergas dengan pantas berbanding yang pernah saya jumpa sepanjang karier.

“Dia sangat hebat, dia mampu beraksi selang dua hari dan sudah pasti apabila kerap bermain, mampu membuatkan dia berasa lebih selesa,” kata Guardiola.

All copyrights for this article are reserved to Metro