SAINGAN Masters Indonesia menyaksikan tiada wakil negara pada perlawanan akhir apabila tewasnya beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di tangan pilihan nombor satu kejohanan daripada Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Aaron-Wooi Yik bagaimanapun tetap memberi tentangan sengit sebelum akur dengan kekalahan 19-21-19-21 dalam perlawanan yang memakan masa 33 minit.

Tewas di set pertama Aaron-Wooi Yik cuba bangkit diset kedua apabila mendahului perlawanan 11-7 namun pengalaman dengan serangan di setiap penjuru gelanggang dari pihak lawan sukar dikekang yang akhirnya menyaksikan impian wakil negara itu mara ke perlawanan akhir terkubur.

Kekalahan beregu itu menyaksikan tiadanya wakil negara di perlawanan akhir selepas beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut tewas kepada lawan dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 21-15, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 39 minit.

Bagi Aaron, dia berasa sedikit kecewa di set kedua kerana beberapa kali mendahului lawan namun gagal mengekalkan momentum berkenaan sehingga mata terakhir untuk membawa perlawanan ke set penentuan.

“Untuk perlawanan hari ini (semalam) saya rasa ia sebenarnya sedikit okay. Tapi kecewa juga di set kedua kerana kami beberapa kali mendahului lawan.

“Bagaimanapun secara keseluruhannya saya berpuas hati dan akan cuba yang terbaik lagi selepas ini di Masters Thailand pula,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro