SELEPAS enam tahun menyepi, perlumbaan berprestij Super GT kembali menemui peminat di Malaysia bermula 16 hingga 19 Julai depan.

Menariknya edisi kali ini lebih mencabar apabila ia akan dilangsungkan pada sebelah malam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membabitkan pelumba berkelas dunia.

Pengurus Haro Sports & Entertaiment Sdn Bhd, Fahrizal Hasan berkata, pihaknya cukup teruja dapat membawa semula perlumbaan untuk pusingan kelima itu yang kali terakhir dianjurkan di Sepang pada 2013.

“Kami memikirkan bagaimana untuk menjadikan perlumbaan kali ini lebih menarik dan mendapati perlumbaan pada sebelah malam pastinya akan memberi cabaran berbeza kepada pasukan dan pelumba.

Fahrizal Hasan perlumbaan Super GT dijalankan pada sebelah malam. FOTO Amirudin Sahib

“Cabaran lain sudah pastinya terarah kepada faktor cuaca yang tidak menentu.

“Dengan ketiadaan perlumbaan F1 (Formula Satu) di Malaysia, kami berharap Super GT akan mendapat sambutan dan mensasarkan kira-kira 80,000 penonton dapat hadir sepanjang empat hari perlumbaan itu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran perlumbaan itu.

Sementara itu, Jazeman Jaafar dan Datuk Adrian da Silva akan mewakili Malaysia untuk perlumbaan itu menerusi tiket wild card.

Mereka berdua akan beraksi dalam kelas GT300 dan menggunakan jentera Porsche GT3 R.

“Ia sememangnya menjadi impian saya untuk beraksi di perlumbaan Super GT.

Perlumbaan ini sangat menarik kerana ia menampilkan pelumba berkelas dunia termasuk bekas pelumba F1,” kata Jazeman.

All copyrights for this article are reserved to Metro