BIARPUN perayaan Aidilfitri tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, atlet boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi tetap mahu berkongsi kegembiraan itu dengan mereka yang memerlukan.

Kata Afifah, Syawal tahun ini begitu bermakna bagi dirinya kerana dapat beraya bersama keluarga selepas beberapa tahun tidak dapat meraikannya kerana tuntutan kerjaya sebagai atlet.

Justeru dia mahu berkongsi kegembiraan itu dengan mereka yang lain supaya sama-sama meraikan hari raya dengan penuh keceriaan biarpun tidak dapat berkunjung ke rumah saudara kerana negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, mungkin tidak semua orang dapat beraya bersama keluarga tersayang tapi itu bukan halangan untuk mereka bergembira di hari raya yang hanya datang setahun sekali.

Atas sebab itu, Afifah berkata, dia mahu berkongsi rezeki yang dimilikinya bersama orang yang kurang berkemampuan supaya mereka turut merasai nikmat berhari raya dengan pakaian serba baharu di pagi Syawal.

“Pada mulanya saya hanya mahu memesan baju kurung untuk dipakai keluarga di pagi hari raya kemudian terlintas di fikiran saya untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang kurang berkemampuan.

“Jadi saya pilih untuk berkongsi rezeki dengan membeli baju kurung dan tudung baharu untuk diserahkan kepada warga emas di Ampang.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat berhari raya dengan ceria sama seperti orang lain yang mempunyai keluarga,” katanya.

Gadis manis berusia 29 tahun dari Ipoh Perak itu berkata, idea untuk memberi baju kurung baharu itu sebenarnya datang daripada ibu yang turut menyokong keinginannya untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

Katanya, tahun ini juga dia mempunyai kesempatan membuat biskut raya bersama keluarga dengan lebih 10 jenis biskut sudah disiapkan.

Itu adalah aktiviti yang setiap tahun dilakukan oleh keluarganya mengikut resipi turun temurun daripada neneknya.

“Memang kebiasaan kami akan membuat biskut raya sendiri. Sehari akan buat dua jenis biskut. Ia bukan untuk dijual tapi untuk makan sendiri dan diberikan kepada jiran.

“PKP ini sebenarnya memberi peluang kepada saya untuk bantu keluarga. Selain daripada menjalani latihan kecergasan di rumah, masa saya turut diisi dengan membantu keluarga jadi ia tidaklah bosan sangat,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro