ATLET olahraga, Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli kini sudah bersedia menceritakan segala yang berlaku apabila dipanggil sekali lagi membela diri oleh Jawatankuasa Siasatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Syazrul dijatuhkan hukuman penggantungan empat tahun selepas didapati bersalah menggunakan bahan terlarang jenis steroid mempunyai tempoh 30 hari daripada tarikh penggantungan pada 24 Januari lalu sudah mengemukakan surat rayuan bertarikh 1 Februari kepada KOM untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dia sekali lagi akan dipanggil untuk membela diri oleh KOM yang akan turut disertai Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

“Ia peluang terakhir saya memberi maklumat dan saya kini sudah bersedia menceritakan semuanya kerana saya memang tidak bersalah dan tidak tahu bagaimana steroid itu boleh ada dalam badan saya.

“Saya akan memberi tahu maklumat sepenuhnya dan saya harap jawatankuasa berkaitan boleh membantu saya untuk mengurangkan hukuman. Saya hanya makan makanan tambahan yang diberi jurulatih kerana percaya kepadanya. Saya harap penjelasan saya pada sesi pendengaran terakhir itu dapat membantu meringankan hukuman penggantungan saya,” katanya yang masih menjalani latihan seperti biasa di bawah bimbingan jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim.

Katanya, dia tidak akan berputus asa dan akan terus menjalani latihan kerana percaya ada hikmahnya di sebalik semua terjadi.

Awal bulan lalu, Syazrul yang meraih pingat emas bersama kuartet Johor dalam acara 4×100 meter Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia, Ogos tahun lalu, didapati positif doping selepas menggunakan dua bahan terlarang, methasterone dan oxymetholone iaitu sejenis steroid anabolik yang mampu merangsang peningkatan prestasi.

Kemenangannya disahkan ditarik balik dan atlet berusia 17 tahun itu mengaku bersalah mengambil bahan terlarang dan telah dikenakan hukuman penggantungan selama empat tahun.

All copyrights for this article are reserved to Metro