“SAYA reda dengan apa yang berlaku, tapi akan cuba membuat rayuan supaya tempoh penggantungan dapat dikurangkan,” kata pelari Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli yang dijatuhkan hukuman penggantungan mandatori empat tahun kerana didapati positif doping di Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada tahun lalu.

Pelari berusia 18 tahun itu ketika dihubungi berkata, meskipun diuji dengan dugaan berat, namun minatnya terhadap sukan olahraga tidak pernah padam.

“Saya akan terus aktif menjalani latihan dibawah bimbingan jurulatih Mohd Poad Md Kassim. Dia antara individu yang sentiasa memberi saya semangat dan kekuatan.

“Walaupun keputusan ini amat berat untuk diterima tapi saya tidak akan berputus asa sebaliknya akan teruskan perjuangan dalam bidang ini.

“Saya juga sedang dalam proses untuk membuat rayuan kerana apa yang berlaku bukan dibuat secara sengaja. Saya tidak tahu bagaimana kandungan itu boleh berada di dalam badan saya,” katanya.

Menurut Syazrul, dia berharap permohonan untuk menggurangkan tempoh penggantungan yang bakal dibuat dapat dipendekkan supaya dia boleh kembali beraksi.

“Jika diikutkan tahun ini ada beberapa acara terbesar yang akan saya wakili, tapi disebabkan isu yang berlaku impian untuk mengharumkan nama Malaysia tidak kesampaian.

“Namun begitu, saya berharap rayuan yang bakal dibuat akan ada khabar gembira. Saya juga mohon sokongan dan doa daripada rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu Syazrul dijatuhkan hukuman penggantungan mandatori empat tahun kerana didapati positif doping di Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada 2018.

Sampel A air kencing Syazrul dikesan mengandungi steroid jenis methasterone dan oxymethalone, namun pelari berusia 18 tahun itu enggan melakukan ujian sampel B.

Penggantungan itu bermula pada 13 Disember lalu dan akan berakhir pada penghujung 2023. Perkara itu dimaklumkan Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

All copyrights for this article are reserved to Metro