KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyeru syarikat korporat membantu pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah dalam isu penajaan bagi menempuh saingan Moto2 musim ini.

Tegas Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, biar apapun sejarah antara Petronas bersama Hafizh sebelum ini ia harus ditolak ke tepi demi pembangunan sukan pemotoran negara.

Syed Saddiq yang ditemui pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2020 berkata, pihak KBS akan berusaha sebaik mungkin untuk menghulurkan bantuan dan kini menunggu permohonan daripada pihak Hafizh dalam bentuk sokongan diperlukan.

“Dari pihak KBS, saya akan berusaha sebaik mungkin membantu dan saya sendiri sudah banyak kali bertemu dengan pihak tertinggi Petronas untuk berbincang lanjut berhubung isu Hafizh ini sebelum membawa perkara ini ke kabinet.

“Takkanlah syarikat korporat di luar sana tidak boleh membantu figura seperti Hafizh untuk industri sukan permotoran negara biarpun saya masih mengharap Petronas untuk terus menyokong,” katanya.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, Hafizh sebelum ini memberi kenyataan bahawa Hafizh perlu berusaha sendiri mendapatkan baki tajaan yang lain termasuk gajinya kerana SIC sudah mengeluarkan perbelanjaan besar.

Hafizh yang bakal beraksi bersama pasukan Aspar dalam saingan Moto2 musim ini berdepan masalah untuk meneruskan saingan dalam aksi Moto2 sebelum ini mengakui masih belum memperoleh penaja utama untuk bersaing pada musim ini.

Musim baru bagi saingan MotoGP tahun ini akan bermula 8 Mac depan di Qatar.

All copyrights for this article are reserved to Metro