JURULATIH Madura United yang beraksi di Liga Indonesia, Rahmad Darmawan mengakui skuad Terengganu FC (TFC) bimbingan Nafuzi Zain mampu melangkah lebih jauh musim ini.

Bekas pengendali T-Team musim 2016 dan 2017 itu turut memuji aksi pemain muda skuad itu yang dilihat mempunyai potensi besar untuk bergelar pemain terbaik.

“Saya lihat pasukan TFC sudah begitu bersedia. Mungkin TFC sudah lama menjalani latihan dan menyebabkan mereka memperoleh keserasian ketika bermain.

“Mereka beraksi pun nampak lebih baik berbanding pasukan kami yang banyak kelemahan perlu diperbaiki.

“Sepatutnya TFC mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Malah tidak keterlaluan boleh saya katakan TFC mampu merangkul piala jika berjaya meningkatkan lagi prestasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat aksi persahabatan pramusim bertemu TFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, baru- baru ini yang berakhir dengan keputusan pasukannya tewas 0-2 di tangan skuad kendalian Nafuzi.

All copyrights for this article are reserved to Metro