Oleh Aida Adilah Mat

[email protected]

Kuala Lumpur

Nasib berbeza diterima oleh dua pemain hoki terkemuka negara, Faizal dan Fitri Saari apabila hanya Faizal berjaya memikat ketua jurulatih Kebangsaan, Arul Selvaraj untuk diserap kembali ke dalam skuad kebangsaan.

Fitri terpaksa menerima hakikat itu dengan Arul memaklumkan bahawa beliau memilih pemain yang mempunyai kriteria yang diinginkan bagi memperkuatkan skuad kebangsaan negara.

Daripada senarai 30 pemain yang diumumkan hari ini, empat pemain baru bakal membuat penampilan pertama bersama skuad senior lelaki kebangsaan dan mereka adalah Muhamad Shafie Sahrom (penjaga gol), Zulpidaus Mizun (pertahanan), Pavandip Singh Gurdip Singh (tengah) dan Nur Rahul Hrisikesa Mohd Murni Tatchana (penyerang).

“Pemilihan yang saya lakukan adalah berdasarkan kesungguhan yang mereka tunjukkan, kerja keras untuk memastikan tempat di dalam pasukan kebangsaan dan walaupun ada beberapa pemain baru yang mungkin tidak pernah menonjol tetapi saya memilih mereka kerana tenaga yang dimiliki mereka, disiplin yang baik dan juga semestinya kerja keras mereka.

“Kriteria yang dimiliki pemain ini juga adalah ciri-ciri yang ingin saya serapkan dalam pasukan kebangsaan kerana di Malaysia ramai pemain yang berbakat dan boleh bermain hoki tetapi mereka hilang elemen untuk beraksi di dalam pasukan kebangsaan,” katanya.

Menerusi senarai 30 pemain yang dikeluarkan itu, empat pemain mengisi posisi penjaga gol, 10 pemain di bahagian pertahanan manakala lapan pemain mengisi posisi tengah dan lapan lagi di bahagian penyerang.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, pemain bermain empat perlawanan persahabatan dan daripada perlawanan itu saya dapat menilai pemain yang boleh bermain di bawah tekanan ataupun tidak.

“Kemudian apabila PKPB dikuatkuasakan, kami berubah kepada sesi latihan saja dan saya menerapkan sesi latihan dengan tempo yang tinggi dan daripada latihan itu dapat saya lihat siapa pemain yang mempunyai tahap kepekaan yang tinggi, boleh beraksi di tahap yang tinggi dan kerja keras berdasarkan data yang saya kumpul,” jelasnya yang memilih pemain rata-ratanya berusia purata 25.4 tahun.

All copyrights for this article are reserved to Metro