KETIADAAN latihan trek dan balapan menjadi cabaran buat bekas atlet Olimpik negara dari Sarawak, Watson Nyambek, untuk melatih anak buahnya mengekalkan stamina dan daya pecutan larian mereka.

Bekas raja pecut negara berusia 44 tahun, yang kini menjadi jurulatih skuad olahraga Sarawak, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, atlet di bawah bimbingannya tidak lagi menjalani latihan balapan seperti kebiasaan mereka.

“Untuk membina daya ketahanan dan tahap kelajuan, atlet pecut perlu melakukan rutin larian pada jarak dan tempoh masa yang tertentu, selain memerlukan mereka berada di kawasan lebih luas,” katanya.

Pernah beraksi di dua Sukan Olimpik, iaitu di Atlanta dalam tahun 1996 dan Sydney (2000), Watson kini mencurahkan ilmu larian yang dimilikinya kepada empat pelari pecut muda negeri Sarawak.

“Kesemua mereka ini berusia 17 tahun dan terbabit dalam latihan untuk persiapan bagi menghadapi cabaran Sukan Malaysia (Sukma),” katanya.

Watson berkata sebagai alternatif kepada latihan balapan, atlet yang dilatihnya kini menumpukan kepada latihan yang berbentuk setempat bagi membina kekuatan fizikal dan mental untuk mengekalkan kecergasan mereka di tahap optimum.

“Kita gunakan kaedah persidangan video secara langsung menerusi aplikasi WhatsApp ketika sesi latihan, jadi apabila sesi ini dijalankan, saya dapat memberikan arahan secara terus berkenaan rutin latihan yang perlu mereka lakukan sepanjang sesi latihan itu,” katanya.

Bekas petinju negara, Sapok Biki.Bekas petinju negara, Sapok Biki.

Seorang lagi bekas wira sukan negara, Sapok Biki, 46, turut menghadapi cabaran sama dalam mempersiapkan 13 petinju muda Sarawak untuk menghadapi Sukma yang ditangguhkan ke tahun hadapan ekoran wabak Covid-19 dan penguatkuasaan PKP dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Pemenang pingat emas acara light flyweight di Sukan Komanwel 1998 itu kini menjadi jurulatih skuad tinju Sarawak.

“Jika tiada penganjuran besar di peringkat kebangsaan sebelum Sukma nanti, kita akan panggil semua kelab tinju di Sarawak ini untuk perlawanan persahabatan sebagai persiapan petinju-petinju yang mewakili negeri pada temasya itu nanti,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro