TIADA lagi perlawanan kompetitif untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan akan datang apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah meluluskan permohonan pembatalan semua acara rasmi termasuk aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac dan Jun depan.

Hal ini bermakna sebarang pertandingan rasmi dalam masa terdekat ini ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian berdasarkan kepada kesesuaian selain turut melihat kepada keadaan semasa koronarvirus baharu atau Covid-19.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John berkata, sebelum ini pihaknya sudah berbincang bersama beberapa pihak bagi menunda pertandingan peringkat antarabangsa termasuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Kita sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada FIFA untuk menunda semua aksi dalam tempoh beberapa bulan dan tarikhnya akan diumumkan nanti,” katanya.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan isu keselamatan menjadi keutamaan sekali gus kemungkinan semua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 Piala Asia 2023 pada Mac ini akan ditunda berikutan penularan wabak Covid-19.

Malah perlawanan membabitkan Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai tidak terkecuali terkena tempias apabila perlawanan yang dijadualkan pada 26 Mac depan kemungkinan ditunda pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Selain itu, beberapa perlawanan persahabatan termasuk saingan liga di beberapa negara sudah mula ditunda berikutan penularan wabak terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to Metro