PENYERANG Chelsea, Olivier Giroud berkata dia hampir meninggalkan Stamford Bridge pada Januari lalu tetapi kini memasang impian menjuarai lebih banyak trofi bersama kelab Liga Perdana itu.

Giroud baru-baru ini menandatangani kontrak lanjutan setahun yang akan mengekalkannya di Chelsea sehingga penghujung musim depan.

Kontrak baharu itu melengkapkan perubahan drastik nasib pemain antarabangsa Perancis itu.

Pengurus Chelsea, Frank Lampard mencari penyerang lebih berwibawa pada Januari lalu dan Giroud yang dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham tidak diperlukan lagi dengan kehadiran pemain baharu.

Tetapi misi Lampard gagal dan Giroud yang jarang diturunkan musim ini kembali diperlukan selepas Tammy Abraham mengalami kecederaan.

“Saya sepatutnya meninggalkan pasukan ini pada Januari lalu kerana saya kurang bermain dan saya pula perlukan lebih perlawanan untuk diserap ke dalam skuad Perancis Euro 2020, ” kata Giroud dalam laman web Chelsea hari ini.

“Saya hampir tinggalkan Stamford Bridge tetapi saya fikir tuhan mahukan saya kekal bersama Chelsea. Pengurus beritahu saya dia tak boleh lepaskan saya kerana tidak miliki pengganti.

“Semua orang tahu apa berlaku jadi tak perlu saya kenangkannya. Tetapi jurulatih bercakap dengan saya dan beritahu akan memberi saya peluang beraksi lebih kerap.

“Dia mengotakan janji dan saya tekad membalas kepercayaan diberikan.”

Giroud jelas tidak menunggu masa lama dengan menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Tottenham dan menyerlah ketika Chelsea menewaskan Liverpool dan Everton.

All copyrights for this article are reserved to Metro