PASUKAN Woodball Universiti Teknologi Mara (UiTM) membolot empat pingat Emas yang dipertandingkan di Gelanggang Woodball UiTM Perlis dalam Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2020 Fasa 1.

Pingat Emas disumbangkan oleh Qistina Mohd Reffal bagi acara Individu Wanita, diikuti Muhammad Fazril Amran (Individu Lelaki), serta acara Berpasukan Lelaki dan Berpasukan Wanita.

Secara keseluruhannya UiTM memperoleh empat Emas satu Perak dan satu Gangsa sekali gus dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi acara Woodball Masum 2020 Fasa 1.

Pasukan Woodball UiTM dinobatkan juara. FOTO Ihsan UiTM.

Terdahulu kontinjen UiTM mendominasi Karnival Sukan Masum Fasa 1, yang berlangsung pada 30 Januari hingga 6 Februari lalu bertempat di UiTM cawangan Perlis dengan mengutip 22 pingat Emas, 17 Perak dan 10 Gangsa.

UiTM muncul juara keseluruhan selepas mengatasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kutipan pingat lapan Emas, empat Perak dan enam Gangsa manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) tempat ke tiga dengan tujuh Emas, empat Perak dan lapan Gangsa.

Sementara itu, Ketua Kontinjen merangkap Timbalan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mohd Fisol Saud berkata kejayaan itu adalah sokongan yang berterusan dari pihak Pengurusan tertinggi UiTM, latihan pusat yang berkala dan semangat juang yang tinggi oleh atlet UiTM serta jurulatih pasukan.

Katanya, lebih manis lagi UiTM mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2018 dan 2019.

Sukan Masum fasa 2 akan berlangsung di UiTM Shah Alam pada Julai nanti.

All copyrights for this article are reserved to Metro