MANCHESTER United membelasah kelab divisyen tiga, Tranmere Rovers 6-0 hari ini untuk menyertai Manchester City ke pusingan kelima Piala FA namun ia gagal meredakan protes ke atas pemilik kelab itu.

Tranmere tewas hasil jaringan awal Harry Maguire sebelum United terus mengganas menerusi jaringan Diogo Dalot, Jesse Lingard, Phil Jones dan Anthony Martial pada separuh masa pertama.

Mason Greenwood menambah gol menerusi sepakan penalti di babak kedua sekali gus menyaksikan buat kali pertama sejak 1892 enam pemain berlainan menjaringkan gol untuk United dalam satu perlawanan.

Penyokong United dilihat menyanyikan lagu menentang keluarga Glazer yang memiliki kelab itu serta naib presiden, Ed Woodward meskipun pasukan berjaya meledak gol demi gol.

“Amat penting untuk meraih kemenangan ini selepas persembahan buruk dan keputusan tidak memihak kami ketika bertemu Burnley,” kata Maguire merujuk kepada kekalahan 0-2 Rabu lalu.

“Kami menetapkan persembahan yang baik untuk penyokong kami,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro