PERTAHANAN Manchester United Harry Maguire mungkin diketepikan untuk beberapa minggu susulan kecederaan pinggul menurut laporan media Britain awal pagi tadi.

Ketiadaan Maguire dikatakan menjadi punca United tewas 1-3 kepada Manchester City dalam aksi pertama separuh akhir Piala Liga semalam.

Pada mulanya kecederaan Maguire disangkakan hanya kecederaan kaki ketika aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Wolves Sabtu lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Masih belum ada pengesahan rasmi daripada United mengenai tarikh pemain England itu kembali beraksi.

Namun Maguire yang menyertai United dari Leicester tahun lalu, tidak mungkin diturunkan dalam aksi Liga Perdana menentang Norwich Sabtu ini.

Melihat kepada jadual perlawanan United selepas ini termasuk kunjungan ke laman pendahulu Liga Perdana Liverpool pada 19 Januari ini, ketiadaan berterusan bek tengah bernilai £80 juta (RM429.1 juta) akan memberi tamparan hebat buat pengendali kelab Ole Gunnar Solskjaer.

All copyrights for this article are reserved to Metro