KETUA jurulatih skuad Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab meletakkan harapan yang tinggi agar Piala Cabaran yang menjadi idaman skuad berstatus ‘feeder’ kembali disenaraikan dalam kalendar baharu Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Beliau berkata, jika persaingan piala itu kekal muktamad dibatalkan, ia akan memberi kesan kepada pasukan yang tidak layak beraksi dalam pentas Piala Malaysia termasuk skuad ‘feeder’.

Bagaimanapun bekas pemain pertahanan Terengganu itu tidak mahu memaksa sebaliknya percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL mempunyai hujahnya kerana sedar negara berdepan dengan penularan wabak pandemik Covid-19.

“Piala Cabaran yang sudah memasuki edisi ketiga juga wajar diteruskan sebagaimana Piala Malaysia, Liga Super dan Liga Perdana, tapi kami tidak sesekali akan mendesak badan induk bola sepak negara berhubung perkara itu.

“Sebaliknya jika ada ruang dan penularan wabak Covid-19 itu sudah pulih sepenuhnya, maka bolehlah pihak MFL dan FAM memikirkan semula untuk meneruskan kembali saingan piala itu yang menjadi rebutan pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia selain pasukan ‘feeder’,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, MFL dan FAM memutuskan untuk membatalkan saingan Piala Cabaran dan Piala FA kerana kesuntukan masa selain bimbang penularan wabak Covid-19 itu.

Dengan Liga Super dan Liga Perdana akan dijalankan secara separuh liga tanpa kehadiran penonton bermula 1 September hingga 27 September manakala Piala Malaysia akan bermula 17 Oktober hingga 7 November.

Mengulas lanjut, Roshadi akui dengan status sebagai pasukan ‘feeder’ memang terasa apabila pembatalan Piala Cabaran apatah lagi Liga Perdana akan dilangsungkan secara separuh liga dan hanya berbaki tujuh perlawanan lagi sebelum berakhir.

“Memang kami terasa dengan pembatalan piala itu musim ini kerana sekiranya benar liga hanya dilangsungkan pusingan pertama sahaja, maka kami dah tidak ada perlawanan lagi selepas September, lagipun kontrak pemain akan berakhir pada November.

“Ini akan memberi kesan kepada pasukan terutama pada minit bermain pemain itu sendiri, saya juga bimbang pemain sekali lagi akan berhadapan dengan cuti yang panjang dan mungkin mengurangkan kualiti pasukan kita.

“Namun apa-apapun kami serahkan segala keputusan ini kepada MFL kerana mereka lebih arif untuk mengatur langkah yang terbaik demi kelangsungan bola sepak tanah air,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro