Madrid: Pemain tengah Inter Milan, Arturo Vidal mahu menggunakan pengalamannya ketika bersama Barcelona sebagai senjata menewaskan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Vidal beraksi dua musim bersama gergasi LaLiga, Barca di Camp Nou sebelum berpindah ke kelab Serie A, Inter pada Spetember lalu.

Pemain Chile itu tampil lapan perlawanan bersama Nerazzurri dan dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Madrid dalam aksi tumpuan Kumpulan B di ibu kota Sepanyol itu.

Jika Vidal berjaya membantu Inter meraih tiga mata di Estadio Alfredo Di Stefano, dia bercadang meraikannya bersama penyokong kedua-dua kelab.

“Semua perlawanan penting untuk kami meraih mata,” katanya dalam sidang akhbar awal pagi tadi.

”Ia akan menjadi perlawanan hebat, penting untuk carta kumpulan. Saya akan berdepan mereka jika saya masih lagi pemain Barca.

“Saya bersama Barcelona selama dua musim, jadi saya harap dapat meraih kemenangan bersama penyokong Inter dan Barcelona.”

Vidal berhasrat menjadi pemain pertama menjaringkan gol ketika menentang Madrid bersama tiga pasukan berbeza dalam saingan Liga Juara-Juara selepas melakukannya bersama gergasi Serie A Juventus dan juara bertahan Bundesliga, Bayern Munich.

Madrid pula menang enam daripada tujuh aksi di tempat sendiri dalam saingan utama Eropah menentang Inter dengan kali terakhir pada September 1998 dengan Madrid menang 2-0.

All copyrights for this article are reserved to Metro