BEKAS pemain nombor satu dunia, Vijay Singh tidak mahu mengambil bahagian di Jelajah Korn Ferry (KFT) Jun ini.

Golf Channel melaporkan, Jelajah PGA mengesakan pemain berusia 57 tahun kelahiran Fiji itu mengambil keputusan untuk menarik diri dari menyertai kejohanan berkenaan yang berlangsung dari 11 hingga 14 Jun di TPC Sawgrass di Ponte Vedra Beach, Florida.

Keputusan juara tiga kali kejuaraan utama untuk menyertai kejohanan berkenaan mendapat kritikan daripada beberapa pihak, walaupun keahlian seumur hidup Jelajah PGA AS membolehkannya mengambil bahagian di mana-mana saingan KFT kecuali kejohana utama.

Salah seorang pemain KFT, Brady Schnell bertindak agak keterlaluan apabila menggelarkan Vijay sampah dalam media sosial, Twitter kerana kejohanan itu hanya untuk pemain muda yang mencari peluang ke Jelajah PGA AS.

“Anda tahu setiap mata dan duit sangat bernilai untuk pemain muda?.

“Dia menimbulkan kekacauan. Dia mempunyai wang dan sudah membina karier. Hanya perlu menunggu sebulan lagi dan pergi bermai dengan kawan-kawan senior yang lain,” ,” kata pemain Schnell yang berusia 35 tahun.

Juara lima kali kejuaraan utama, Phil Mickelson tampil mempertahankan pemain berkenaan.

“Ia bukan lagi rahsia saya dan VJ bukannya rapat tapi ingin saya katakan di sini bagi pihaknya, selain menjadi anggota dewan kemahsyuran, dia juga adalah sebahagian daripada yang membuatkan Jelajah PGA berjaya apabila menyalurkan sumbangan termasuk kepada KFT.

“Dia ada hak untuk bermain bila-bila dan di mana yang dia mahukan,” katanya.

Schnell selepas itu membuat permohonan maaf dengan menyatakan dia sepatutnya menggunakan pendekatan berbeza untuk menyampaikan pendapatnya.

All copyrights for this article are reserved to Metro