FIZIKAL pemain timur tengah menjadi antara halangan yang perlu diatasi skuad kebangsaan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia pada perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

Perkara itu diakui tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid yang kini mengikuti siri jelajah pramusim di UAE mewakili kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila melihat pemain daripada Timur Tengah memiliki kelebihan daripada segi fizikal seterusnya mudah mengatasi pemain Malaysia.

Safawi berkata, teknikal dan kemahiran yang dimiliki pemain daripada negara terbabit tidak mendatangkan masalah kepadanya yang berpengalaman bertembung dengan mereka sebelum ini dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

“Saya lihat antara halangan utama adalah fizikal pemain Timur Tengah yang agak besar seterusnya sukar untuk mengatasi mereka terutama jika bertubuh kecil.

“Perkara terbabit menjadi pengajaran pada saya untuk pertingkatkan lagi teknik permainan bagi mengatasi mereka pada perlawanan menentang UAE nanti,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Malaysia yang akan bertandang ke gelanggang bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 26 Mac ini pernah dimalukan tuan rumah dengan kekalahan besar 0-10 lima tahun lalu.

All copyrights for this article are reserved to Metro