JOHANN Zarco berkata ia satu kelebihan buatnya untuk beraksi di litar yang sama secara berturut-turut bagi saingan MotoGP setiap hujung minggu.

Masih lagi baru dengan jentera Ducati dan terlepas beberapa ujian pramusim, Zarco percaya lima perlumbaan di litar sama akan memberikan dia sedikit kelebihan.

Jadual perlumbaan yang dirombak menyaksikan 13 pusingan bakal diadakan dengan termasuk dua perlumbaan berturut-turut di Jerez, Red Bull Ring, Misano, Aragon dan Valencia.

Ia adalah penyelesaian paling pratikal untuk mengadakan lebih banyak pusingan perlumbaan, berikutan masalah yang terhad untuk berkunjung ke negara lain disebabkan penularan Covid-19.

Zarco menyertai Avintia Ducata selepas dua musim bersama Tech3 Yamaha, setengah tahun di KTM dan tiga perlumbaan dengan Honda.

Bagaimanapun, dia terlepas sesi ujian pada penghujung 2019 akibat kecederaan dan hanya menunggang jentera Desmosedici di Sepang serta Losail.

“Saya sangat gembira melihat kalendar baru. Ia satu berita baik apabila saya melihatnya dan merasakan bagi saya ia sangat menarik untuk mengadakan dua perlumbaan di tempat sama.

“Ini kerana saya boleh belajar untuk mencari keserasian dengan Ducati. Saya hanya enam kali mencuba jentera ini, jadi saya memerlukan perlumbaan dan ulangan di tempat sama sesuatu yang menarik.

“Kami juga mempunyai tiga perlumbaan di hujung minggu secara berturut-turut tahun ini dan saya suka jadual seperti ini selepas berehat panjang,” kata Zarco.

Ada juga yang mengatakan perlumbaan berturut-turut di litar sama bakal memberi peluang terbaik buat pelumba rookie seperti Alex Marquez, Brad Binder dan Iker Lecuona untuk menyinar.

All copyrights for this article are reserved to Metro